
PETALING JAYA: Sebuah aplikasi (app) telefon bimbit dipanggil Kil-Dengue dikatakan mampu menjadi penghalau nyamuk aedes.
Pensyarah Parasitologi dan Entomologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hidayatul Fathi Othman berkata, aplikasi yang mengeluarkan bunyi gelombang itu berupaya menghalau nyamuk Aedes aegypti.
Katanya, ia dibangunkan oleh New Wave Communications Sdn. Bhd. dan telah direka khas dalam tempoh tiga tahun serta diubahsuai untuk menghalau nyamuk Aedes aegypti.
“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menguji keberkesanan app itu dan mendapatinya berupaya menghalau lebih 75 peratus nyamuk Aedes aegypti yang membawa virus denggi,” katanya yang dipetik daripada Bernama.
Dr Hidayatul Fathi berkata, app itu berfungsi dengan mengeluarkan frekuensi yang sama dengan pukulan sayap nyamuk Aedes jantan, Aedes albopictus dan tidak dapat didengari oleh telinga manusia.
“Nyamuk Aedes betina yang menyebarkan virus denggi dengan gigitan. Bagaimanapun nyamuk itu hanya menghisap darah manusia setelah melakukan persenyawaan untuk mendapatkan protein darah manusia bagi tumbesaran telur dalam tubuhnya,” jelasnya.
Katanya lagi, setelah persenyawaan berlaku, nyamuk Aedes betina akan mengelakkan pengawanan kedua dengan menjauhkan diri daripada nyamuk Aedes jantan.
Tambahnya, ini menyebabkan nyamuk Aedes betina terbang jauh apabila mendengar frekuensi pukulan sayap nyamuk Aedes jantan seperti yang dikeluarkan oleh app itu.
App mesra pengguna itu mempunyai pilihan enam “environment” (suasana) termasuk pejabat, bilik, hutan dan pantai.
Frekuensi app itu berfungsi dengan berkesan dalam lingkungan lima meter.
Kil-Dengue dapat dimuat turun daripada Google Play atau Apple App Store dengan yuran sekali bayar RM10 (bagi wadah Android) atau USD2.99 (bagi iOS).