Isnin, 27 April 2015

Chong Wei digantung 8 bulan, beraksi semula Mei ini

Hukuman terhadap Datuk Lee Chong Wei yang digantung 8 bulan bermula pada 30 Ogos tahun lalu beliau dapat bermain semula bermula 1 Mei ini. – Gambar fail AFP, 27 April, 2015.
Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei digantung 8 bulan selepas gagal dalam ujian doping pada Ogos tahun lalu, lapor portal The Star Online.
Akhbar itu yang memetik sumber berkata, hukuman terhadap Lee bermula pada 30 Ogos tahun lalu beliau dapat bermain semula bermula 1 Mei ini.
Dengan pengumuman itu, Lee dapat beraksi dalam Piala Sudirman pada 10 Mei ini, Sukan SEA di Singapura pada Jun dan Kejohanan Dunia di Jakarta pada pada Ogos ini.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan membuat pengumuman rasmi di Putrajaya pada 3 petang ini.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung sementara Lee pada November kerana "jelas" melanggar peraturan anti-doping.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum itu mengesahkan hasil ujian ke atas salah seorang atlet di bawah naungannya positif bagi bahan dadah terlarang dexamethasone, tetapi tidak mendedahkan identiti pemain itu sementara menunggu keputusan rayuan.
Lee, 32, bagaimanapun, menulis mesej di akaun Twitter dan Facebook miliknya, berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka dan menafikan menggunakan dadah bertujuan mencapai kepentingan dirinya.
"Saya cuma mahu ucapkan terima kasih kepada semua anda yang meletakkan kepercayaan kepada saya semasa saat sukar ini.
"Terdapat banyak soalan yang tiada jawapan dan saya berharap dapat membersihkan nama saya segera. Saya tidak pernah menipu atau bergantung kepada pengambilan bahan terlarang," tulisnya di media sosial. TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan