Khamis, 30 April 2015

‘Flip-flop’ tambah nilai prabayar



Dasar ‘flip-flop' berhubung harga tambah nilai pra-bayar berterusan dan kali ini, ia nampaknya kembali kepada status quo sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Tunggu dulu, tak jadi.


Jabatan Kastam dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) nampaknya seperti tidak pernah bersapa, justeru mengeluarkan kenyataan berbeza pada hari yang sama.

Pada 29 April, The Star memetik Ketua Pengarah Kastam Khazali Ahmad sebagai berkata, syarikat telekomunikasi telah dimaklumkan agar mengembalikan harga tambah nilai sebelum pelaksanaan GST.

"Ini bermakna tambah nilai RM10 akan berharga RM10, bukannya RM10.60 termasuk GST," katanya seperti dipetik.

Pada hari yang sama, timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan menerusi laman twitter berkata, satu surat bertarikh 28 April telah diberikan kepada syarikat telekomunikasi, mengarahkan mereka mengembalikan harga tambah nilai sebelum GST bermula 1 Mei ini.

Namun petangnya, SKMM mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan terus dijual dengan harga termasuk GST.

"Misalnya, tambah nilai RM10 akan berharga RM10.60 dengan tambahan 6 peratu GST.


"Seperti yang kami nyatakan pada 3 April, satu kajian akan dibuat oleh pembekal perkhidmatan telekomunikasi untuk menilai sama ada pelanggan memilih nilai pra-bayar yang lebih rendah dan dicaj GST. Misalnya, tambah nilai RM10 boleh berharga RM10.60 (tambahan 6 peratus GST) atau RM10 (dengan nilai RM9.43 selepas ditolak GST)," kata pengerusi SKMM Dr Halim Shafie.

Pada 30 April, Khazali seperti berubah fikiran apabila The Star memetiknya mengulas pendirian SKMM dan berkata, arahan agar harga tambah nilai kembali seperti sebelum GST ditangguhkan untuk satu tempoh yang tidak pasti.

Dalam kenyataan SKMM, Halim berkata bahawa kajian sudah hampir selesai dan keputusannya akan dibentangkan kepada pihak berkenaan minggu depan.
"Jabatan Kastam Diraja Malaysia setuju dengan pelaksanaan kajian ini sebelum apa-apa keputusan dibuat.

"(Namun) Terdapat kekeliruan di pasaran dalam soal sama ada tambah nilai prabayar akan kembali kepada kadar pra-GST bermula 1 Mei ini. Harus difahami, perkara itu adalah agak mustahil bagi pembekal-pembekal tersebut untuk melaksanakan perubahan yang dikehendaki dalam dua hari.

"Kedua, keputusan kajian tersebut masih belum dicapai dan terlalu awal untuk memutuskan apa-apa pada masa ini," katanya lagi.

Tetapi mengapa Halim berkata mustahil bagi pembekal perkhidmatan melaksanakan perubahan dalam masa dua hari, sedangkan Ahmad Maslan pada 3 April lalu berkata pembekal akan kembali menjual tambah nilai dengan harga lama dalam masa sebulan.

Menurut SKMM, kesukaran untuk kembali kepada harga pra-GST berikutan kerumitan dalam pengubahsuaian semula sistem oleh pembekal perkhidmatan, agen pihak ketiga seperti institusi kewangan, pembekal bayaran elekronik, pasar raya, stesen minyak dan agen jualan lain yang berjumlah 3,000.

Kesemuanya perlu menanggung kos yang agak besar bagi pengubahsuaian itu, katanya lagi.

"Kos ini perlu ditimbangkan dengan teliti sebelum keputusan muktamad dibuat.
"Memandangkan semua pihak berkaitan setuju untuk menuggu kajian selesai, SKMM menyeru aga apa-apa keputusan tentang perkara ini dibuat hanya selepas keputusan kajian dipertimbangkan, serta impikasi teknikal dan kewangan," kata Halim.

Halim risau tentang kos yang ditanggung syarikat telekomunikasi?
Kalau begitu, mengapa susah-susah jalankan kajian, jika kos untuk kembali ke sistem lama adalah besar?

Bagaimana pula dengan kesannya kepada pengguna?

Syarikat telekomunikasi telah menyerap 6 peratus cukai perkhidmatan sejak 1998.

GST juga enam peratus. Maka mengapa mereka tidak terus menanggungnya?
Halim tidak perlu bimbangkan mereka, tetapi rakyat - yang tidak mengaut untung besar malah perlu berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.


Pihak-pihak bertanggungjawab ini perlu berhenti mengeluarkan kenyataan bertentangan. Sudah banyak kenyataan begitu dalam masa sebulan ini.

Pertama berhubung arahan daripada Jabatan Kastam kononnya syarikat telekomunikasi dilarang untuk menaikkan harga tambah nilai sebanyak 6 peratus selepas pelaksanaan GST.

Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga berkata kad pra-bayar dan tambah nilai akan kekal dan menyediakan khidmat ‘hotline' untuk pengguna membuat aduan.

Sehari selepas GST, Ahmad Maslan dilaporkan berkata syarikat telekomunikasi perlu membayar balik kepada pengguna yang dikenakan caj GST ketika membeli tambah nilai.

Beliau juga memberi amaran yang syarikat telekomunikai boleh dibawa ke mahkamah jika berkeras untuk mengenakan caj GST kepada tambah nilai.

Tidak lama kemudian, laporan menyatakan bahawa syarikat telekomunikasi dibenarkan untuk mengenakan caj GST namun memberikan masa berbual tambahan.

Kepentingan dan hak pengguna perlulah menjadi keutamaan. Mereka tidak boleh menanggung akibat daripada sikap ‘flip-flop' kerajaan.


Keputusan awal Jabatan Kastam memihak kepada pengguna, dan keputusan itulah yang patut diteruskan. Bukankah mereka yang bertanggungjawab mengutip cukai, bukannya SKMM.

Rabu, 29 April 2015

Kutipan GST RM42 Juta Sehari


"RM42 juta sehari bersamaan 15.3 bilion (ribu juta) setahun. Inilah unjuran hasil GST yang bakal dikutip oleh kerajaan dalam masa setahun. Dijangkakan pada hujung tahun 2015 jumlah yang diperolehi adalah sebanyak RM 11.5 bilion. Ini belum mengambilkira aspek keterperanjatan rakyat yang membeli secara pra-GST dan secara berpantang untuk masa sekarang.

Berikut adalah pandangan dan cadangan tentang pengurusan perbelanjaan hasil GST tersebut :

1. Kerajaan perlu berhemah menggunakannya dan fokus kepada keperluan rakyat golongan miskin dan sederhana. Ini tidak bermaksud pendapatan negara yang sedia ada dari sumber-sumber lain boleh dibelanjakan sesuka hati terutama untuk projek-projek yang membazir.

2. Dengan tambahan pendapatan GST ini, kerajaan dapat menjimatkan penggunaan wang dari sumber-sumber lain. Sebahagian dari penjimatan ini harus digunakan untuk membayar hutang negara yang semakin bertambah setiap tahun. Jangan pula penjimatan ini dileburkan untuk projek-projek mega yang kurang sesuai diutamakan dalam keadaan sekarang.

3. Hasil GST perlulah sampai kepada rakyat marhein tanpa mengira warna ideologi politik sebagaimana GST yang tidak menganaktirikan duit hijau atau biru, semua dicukaikan dengan peratus yang sama. Apa yang dibimbangkan pola pilihkasih diaplikasikan dengan meminggirkan golongan tertentu.


4. Gaji minimum RM 1200 mesti dikuatkuasakan serta merta setelah mengambil kira kadar inflasi & kesan GST terhadap majoriti produk.

5.Kami faham pendidikan percuma yang dijanjikan menjelang 1982 tidak dapat direalisasikan namun sekurang-kurangnya beban yang dipikul oleh ibubapa dapat dikurangkan sekurang-kurangnya separuh.

6. Kerajaan perlu melaksanakan polisi yang teratur bagi Pembangunan Nilai Insan. Sekolah-sekolah agama, madrasah atau pondok seharusnya tidak dibiarkan terkapai-kapai dalam memenuhi keperluan mereka. Pelajar-pelajar pondok persendirian terutamanya perlu diberikan biasiswa kerana mereka adalah golongan Fisabilillah. Apatah lagi pusat zakat tidak berupaya memenuhi keperluan keseluruhan asnaf-asnaf.

Saifudin : Ketirisan, rasuah punca negara gagal capai tadbir urus baik


Malaysia dengan pentadbiran yang sedia ada masih belum mencapai ciri-ciri sebuah tadbir urus yang baik atau 'good governance' kerana ia gagal menangani masalah rasuah dan ketirisan, kata bekas timbalan menteri Umno Datuk Saifuddin Abdullah.
Katanya terdapat penambahbaikan yang perlu dilakukan kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, contohnya dengan memberi penekanan kepada penggunaan sistem e-perolehan dan e-bidaan supaya kadar rasuah dan ketirisan dapat dikurangkan.
"Infrastruktur untuk 'good governance' ini sudah disediakan. Contohnya, program transformasi kerajaan (GTP), di mana salah satu bidang keutamaannya ialah membasmi rasuah.
"Infrastruktur sedia ada lain yang boleh dimanfaatkan ialah sistem atau teknologi e-perolehan dan e-bidaan. Saya difahamkan, ia sudah menjadi dasar supaya digunakan oleh agensi kerajaan.
"Tetapi soalnya, berapa peratus sistem itu digunakan oleh semua agensi kerajaan? Jika dilaksanakan sepenuhnya, kita akan dapati kadar rasuah dan ketirisan akan berkurangan dengan sendirinya," kata ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) itu.
Beliau berkata demikian pada satu sesi bual santai bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak dalam program yang dinamakan Grand Discoffee malam tadi.
Katanya, langkah terbaik mengatasi isu ketirisan dan rasuah negara ialah dengan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kerajaan.
"Sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri atau tempatan atau institusi, ia melibatkan duit rakyat. Mesti memastikan keberkesanan dalam tugas kita.
"Beberapa dasar sudah dimulakan di bawah GTP. Tetapi tidak tahulah sejauh mana ia diteruskan," katanya.
Beliau juga menyarankan supaya satu tempoh tertentu ditetapkan bagi semua agensi kerajaan membuat persediaan sepenuhnya bagi melaksanakan GTP.
"Dan diisytiharkan, mulai satu tarikh, tiada lagi kompromi," katanya.
Seorang lagi panel jemputan, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, melalui pendedahan laporan ketua audit negara setiap tahun, dapat dikesan terlalu banyak ketirisan, pembaziran dan penyelewengan dalam kerajaan.
Ia sekali gus menjawab persoalan sekiranya pentadbiran kerajaan sedia ada mempunyai ciri-ciri sesebuah tadbir urus yang baik.
"Laporan tahunan ketua audit mendedahkan berlakunya banyak ketirisan, pembaziran, penyelewengan. Ini menunjukkan kerajaan kita terlalu leka, dan perkara tadbir urus ini memang ada banyak ruang untuk dipertingkatkan," katanya.
Bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu berkata ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menambahbaik 'good governance.'
"Kalau nak dipertingkatkan tidak susah... contohnya seperti langkah yang diambil Pulau Pinang dengan dasar tender terbuka, mengisytiharkan aset secara terbuka, tidak membenarkan wakil rakyat atau keluarga mereka berurusan dengan kerajaan untuk mendapat kontrak kerajaan dan sebagainya.
"Itu antara usaha kecil yang boleh dilaksanakan dengan segera oleh kerajaan Persekutuan," katanya.
Beliau juga menyeru agar kerajaan Persekutuan mengurangkan elemen orang tengah seperti yang dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang, kerana katanya, konsep orang tengah hanya menyumbang kepada peningkatan rasuah dan disifatkan sebagai berat sebelah.
"Kalau hendak cerita pasal prestasi kerajaan Persekutuan. Banyak ketirisan yang sepatutnya boleh dibendung, seperti perbelanjaan untuk Istana Negara dan klia2.
"Kerajaan kita harus elakkan kerajaan monopoli. Yang dipanggil 'state monopoly capitalism'," katanya yang menganggap konsep tersebut tidak cekap.
Diskusi yang dianjurkan oleh pelajar universiti tersebut, sepatutnya dimulakan jam 8.30 malam tetapi tergendala kira-kira 30 minit ekoran anggota keselamatan universiti yang cuba menghalang ia dijalankan.
Menurut presiden Discoffee, Adam Roslan, ia merupakan kali pertama diskusi seperti itu diganggu pihak keselamatan.
Adam berkata, diskusi tersebut bertujuan memberi pencerahan kepada pelajar mengenai isu semasa yang berbangkit pada masa kini dan tidak ada sebarang tujuan politik.
Sebelum ini, mereka pernah menjemput Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dan Lokman Adam berdiskusi mengenai isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
"Tujuan asal bukan untuk berpolitik tetapi untuk mendidik dan membudayakan ilmu di universiti. Pihak universiti tidak ada masalah, tetapi pihak keselamatan.
"Ini pertama kali kami diganggu. Sedangkan semasa sesi Ong dan Lokman, kami tidak pernah diganggu," katanya. TMI

Isnin, 27 April 2015

Harga Terkini RON95 RON97 & Diesel Mulai 1 Mei 2015 (Tidak Rasmi)


Dunia telah dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak ditahap terendah sebelum ini dimana ia memberi kesan terhadap jualan minyak di seluruh dunia.

Seperti yang kita ketahui bahawa harga bagi ketiga bahan bakar tersebut kini bergantung kepada pasaran dunia semasa dan ditentukan berdasarkan harga siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Memetik laporan yang ditulis oleh Portal Melvister, kerajaan menerusi KPDNKK akan mengumumkan harga rasmi ketiga-tiga bahan bakar tersebut menerusi media massa selepas pukul 8.00 malam Khamis 30 April 2015.

Berdasarkan harga tidak rasmi harga minyak RON 95 akan naik sebanyak 15 sen iaitu dari RM 1.95 seliter ke RM 2.10 seliter.

Bagi RON97 pula turut naik 15 sen dari RM2.25 seliter ke RM 2.40 seliter manakala bagi diesel pula kenaikan juga 15 sen dari RM 1.95 seliter ke RM2.10 seliter.

Bagaimanapun ini bukanlah harga rasmi jumlah yang bakal dinaikkan dan harga ini mungkin boleh berubah berdasarkan harga minyak dunia semasa. - sumber

Nota: Harga tidak rasmi RON95, RON97 dan Diesel setakat 22 April 2015. Harga rasmi akan diumumkan KPDNKK pada 30 April 2015 selepas pukul 8.00 malam. SK

GST : Golongan susah tertindas


Chong Wei digantung 8 bulan, beraksi semula Mei ini

Hukuman terhadap Datuk Lee Chong Wei yang digantung 8 bulan bermula pada 30 Ogos tahun lalu beliau dapat bermain semula bermula 1 Mei ini. – Gambar fail AFP, 27 April, 2015.
Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei digantung 8 bulan selepas gagal dalam ujian doping pada Ogos tahun lalu, lapor portal The Star Online.
Akhbar itu yang memetik sumber berkata, hukuman terhadap Lee bermula pada 30 Ogos tahun lalu beliau dapat bermain semula bermula 1 Mei ini.
Dengan pengumuman itu, Lee dapat beraksi dalam Piala Sudirman pada 10 Mei ini, Sukan SEA di Singapura pada Jun dan Kejohanan Dunia di Jakarta pada pada Ogos ini.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan membuat pengumuman rasmi di Putrajaya pada 3 petang ini.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung sementara Lee pada November kerana "jelas" melanggar peraturan anti-doping.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum itu mengesahkan hasil ujian ke atas salah seorang atlet di bawah naungannya positif bagi bahan dadah terlarang dexamethasone, tetapi tidak mendedahkan identiti pemain itu sementara menunggu keputusan rayuan.
Lee, 32, bagaimanapun, menulis mesej di akaun Twitter dan Facebook miliknya, berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka dan menafikan menggunakan dadah bertujuan mencapai kepentingan dirinya.
"Saya cuma mahu ucapkan terima kasih kepada semua anda yang meletakkan kepercayaan kepada saya semasa saat sukar ini.
"Terdapat banyak soalan yang tiada jawapan dan saya berharap dapat membersihkan nama saya segera. Saya tidak pernah menipu atau bergantung kepada pengambilan bahan terlarang," tulisnya di media sosial. TMI

Jumaat, 24 April 2015

Kontrak 50,000 kakitangan Kerajaan tidak disambung beri implikasi buruk

Omar Osman
Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tidak menyambung kontrak 50,000 orang kakitangan awam selepas 31 Disember tahun ini bakal memberi implikasi buruk kepada politik, ekonomi dan sosial.
Sehubungan itu, JPA diminta mengkaji sedalam-dalamnya keputusan berkenaan sebelum akhir tahun ini.
Bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan percaya keputusan itu pasti disebabkan kekangan belanjawan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, JPA mengambil jalan mudah untuk menangani masalah tersebut.
"Pada 2012 pun macam itu juga, bagi notis sama. JPA tidak fikir ke keputusan itu membabitkan 50,000 orang pekerja, bukan 10 orang, bukan 50 orang. Kalau 50,000 itu diberhentikan mereka hendak makan apa? Anak isteri dan tanggungan mereka hendak disuap dengan apa? Hutang rumah, hutang kereta macam mana?
"Jangan ambil mudah, jangan buat keputusan sebab mereka sudah duduk di kerusi empuk. Fikir nasib orang-orang bawahan," tambahnya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Omar yang juga Presiden Kelab Pesara 1Malaysia dan Yayasan Pekerja Malaysia berkata, kebanyakan pekerja kontrak kakitangan awam sudah berkhidmat melebihi 10 tahun dan dalam situasi semasa bukan mudah untuk cari kerja baru.
Malah, beliau percaya meskipun notis berkenaan telah dikeluarkan, ada pekerja kontrak awam tertentu yang selamat di sebabkan faktor-faktor dalaman.
"Dulu pun pernah buat macam ini tetapi ada pekerja-pekerja kontrak terselamat. Ini juga tidak adil, tidak telus," tambahnya.
Beliau berkata, hampir 98 peratus pekerja kontrak kerajaan adalah dalam kalangan orang Melayu dan kalau notis itu dikuatkuasa, yang banyak menganggur adalah orang Melayu.
"Ini adalah satu petunjuk tidak baik kepada politik, imej kerajaan, sosial dan ekonomi secara keseluruhannya. Jadi JPA fikir-fikirkanlah," ujar beliau. - MalaysiaGazette

Najib berubah selepas berkuasa

najib sombong
PETALING JAYA: Kuasa boleh merosakkan perwatakan seorang pemimpin walaupun ia mempunyai personaliti yang bersih dan terpelajar
Kenyataan itu dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika beliau mengimbau kembali keputusannya menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak, menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Katanya, pemilihan itu juga bagi membalas jasa Allahyarham Tun Abdul Razak yang menjadi mentornya.
Bekas Perdana Menteri kedua tu bertanggungjawab membawanya masuk semula ke dalam UMNO dan kemudian dilantik memegang jawatan dalam kabinet kerajaan.
“Saya terhutang budi dengan dia, kita harus balas budi dengan anak dan cucu cicitnya.
Saya berhempas pulas letakkan anak dia jadi Perdana Menteri. Saya cakap Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) mintak letak Najib jadi Timbalan Perdana Menteri.
Ketika itu saya lihat dia bagus dan terpelajar, saya nak balas budi baik ayah dia dan naikkan anak dia”, jelas Dr Mahathir dalam program Jelajah Negarawan di Taman Malawati.
Bagaimanpun, beliau mengakui tanggapannya meleset dan apa yang diharapkan menjadi sebliknya apabila Najib berkuasa sehingga beliau terpaksa bersuara untuk menegur kepincangan yang berlaku.
Jelas beliau, layanan baik yang diterima daripada Kerajaan Malaysia bukan alasan untuk berdiam diri terutama apabila melihat perkara yang tidak betul berlaku di depan mata.
Beliau mengakui atas kepentingan ramai satu persatu perkara berkenaan ditegur bagi memperbetulkan keadaan.
Dr Mahathir bertegas untuk mengkritik selepas pentadbiran Najib berdepan dengan pelbagai kemelut dan bebanan hutang, terutama membabitkan isu 1MDB.
Katanya, beliau begitu kritis mengenai 1MDB kerana jika dibiarkan perkara itu akan menghancurkan negara.
Dalam penyampaian yang penuh bersahaja, Dr Mahathir menegaskan dua skandal yang berlaku, iaitu 1MDB dan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibu akan menjadi penyebab utama kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
“Walaupun ini anak tun razak…saya terpaksa dedah. Saya terpaksa tulis dalam blog saya meminta dia berhenti.Najib berhentilah…,” tegasnya.
Tambahnya, kemelut pentadbiran yang tidak berkesudahan menyebabkan prestasi Najib sebagai Perdana Menteri amat teruk jika dibandingkan dengan Pak Lah.
“Saya ingat jika Pak Lah sebelum ini menang pilihan raya sikit dan Najib akan menang lebih. Tetapi pencapaian Najib teruk lagi dari Pak Lah,” katanya.
Beliau juga turut menyelar dasar Najib yang cuba menambat hati rakyat dengan memberi duit dan disifatkan sebagai salah.
“Memberi BR1M itu salah dan itu bukan cara untuk menambat hati rakyat. Pembangkang misalnya pernah berkata akan menerima BR1M dari kerajaan tetapi tidak untuk mengundi UMNO,” jelasnya.
Beliau juga menyelar dakwaan Najib yang mengatakan beliau mendapat sokongan dan tidak keseorangan.
“Najib boleh kata dia tidak kseorangan kerana ahli-ahli UMNO yang menyatakan sokongan itu takut kehilangan pangkat dan elaun mereka.
“Dia juga boleh membawa seramai 10,000 orang untuk mengangkat sepanduk Saya Cinta Perdana Menteri (PM) dan menyanyikan lagu 1M4U. Tetapi Najib tetap tidak dapat sokongan masa PRU13 kerana mereka sokong sebab dibayar.
“Itupun tak faham, macan mana nak jadi Perdana Menteri,” sindir Dr Mahathir. FMT

Gesaan untuk Najib letak jawatan makin kuat di media sosial

Laman komuniti Facebook ‘LetakJawatan’ yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, mendapat lebih 99,000 ‘like’ daripada pengguna sosial. – Gambar Facebook, 25 April, 2015.

Penganalisis politik tempatan mengatakan kewujudan banyak laman sosial meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur merupakan bukti kepada usaha lebih sistematik untuk menjatuhkan beliau.
Apabila anda menaip nama Datuk Seri Najib Razak di Facebook akan terpapar senarai didahului profil rasminya. Namun gambar profilnya yang tersenyum diikuti beberapa laman menyeru peletakan jawatannya – dan setiap satu daripadanya mengumpul beberapa ribu “like”.
Minggu lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau keseorangan menyeru peletakan jawatan Najib, namun laman-laman sedemikian menunjukkan realiti adalah sebaliknya.
Contohnya, laman Facebook “LetakJawatan” yang dibuka hanya sebulan lalu sudah pun mengumpul 99,356 “like” 6 petang semalam (Jumaat), dan menerima 2 juta pengunjung setiap minggu, menurut pentadbir laman tersebut.
“Page ini mendapat sambutan dengan begitu singkat kerana kehidupan mereka semakin tertekan dengan dasar-dasar kerajaan dan tiada ruang untuk mereka meluahkan rasa dan pandangan,” kata pentadbir LetakJawatan kepada The Malaysian Insider.
Katanya, laman tersebut dibuka bersama orang-orang yang sependapat sebagai satu ruang bi-partisan untuk rakyat Malaysia supaya mereka dapat meluahkan secara terbuka pendapat mereka tentang polisi Najib.
“Juga boleh lihat daripada komen-komen yang ada pengguna page ini terdiri daripada semua parti baik Umno, PKR dan PAS dan semua kaum," katanya.
“Adakah page ini akan memberi impak kepada Najib? Jawapan saya ia akan memberi kerana mereka yang ‘like’ page ini terdiri daripada yang berumur 20 hingga 35 tahun, menurut statistik Facebook, dan merekalah pengundi yang akan menentukan siapa akan memerintah.”
Laman tersebut memaparkan artikel dan video tentang isu panas seperti hutang negara, peningkatan gaji ahli Parlimen baru-baru ini, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.
Hampir kesemua post dalam LetakJawatan mendapat lebih 100 hingga 1,000 “like” dengan pengunjungnya bersetuju sesama sendiri dalam ruangan komen atau pun mereka menulis sendiri di laman tersebut negara berada keadaan teruk dan Najib perlu berundur.
Pengguna Facebook Ar Nikmat Amin berkongsi surat terbuka yang ditulisnya di laman tersebut, menggesa Najib supaya meletakkan jawatan atau dipecat kerana tidak mentadbir kerajaan dengan baik.
“Untuk makluman Datuk, saya antara yang terkesan dengan ketirisan di bawah pentadbiran Datuk. Saya perlu bermati-matian untuk mendapatkan RM100 sehari bagi menampung keperluan keluarga dan negara,” tulis Ar Nikmat.
“Untuk maklumat tambahan Datuk Seri, ada ketika saya perlu berlutut pada pelanggan untuk meneruskan urusniaga!”
Walaupun keberatan mendedahkan identitinya, pentadbir LetakJawatan mengakui dia seorang penyokong kuat Umno sejak kecil lagi, dan setiap kali pilihan raya berlangsung, dia akan “memanjat tiang dan pokok untuk memasang sepanduk.”
Namun katanya perdana menteri tidak sepatutnya mewakili satu parti sahaja, tetapi kesemua 28 juta rakyat Malaysia.
“Saya berharap perdana menteri melihat komen-komen ini agar memahami perasaan mereka ini kerana saya yakin suara mereka ini mewakili seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
LetakJawatan adalah sebahagian daripada laman-laman lebih lama seperti “100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation”, yang mengumpul 242,860 “like” sejak 6 petang semalam, “'Kami Benci Najib Tun Razak”, dan “1 Juta Rakyat Mahukan Najib Razak Letak Jawatan”.
Facebook bukan satu-satunya ruang untuk rakyat Malaysia kecewa bagi yang mempunyai akses kepada Internet –  satu petisyen baru di change.org yang bertajuk  “Rakyat not alone. Najib MUST GO!” sudah pun mendapat 96 tandatangan sejak 6 petang semalam, kurang sehari ia dibuka.
“Memandangkan Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan gagal menjawab persoalan tentang SKANDAL ini dan nampaknya sedang mengalihkan perhatian rakyat kepada isu yang direka-reka seperti kontroversi perkauman/agama, kita tidak mempunyai pilihan lain selain menuntut peletakan jawatan beliau segera sebagai perdana menteri,” tulis petisyen tersebut.
“Dengan penuh hormat, Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak, sila tolong rakyat anda dengan MELETAKKAN JAWATAN.”
Penganalisis politik Dr Wong Chin Huat, seorang zamalah di Institut Pulau Pinang memberitahu The Malaysian Insider laman-laman tersebut merupakan bukti  kepada usaha lebih sistematik untuk menjatuhkan Najib.
Katanya, laman seperti ini membantu Dr Mahathir dalam usahanya mewujudkan persepsi Najib sedang kalah walaupun beliau mengatakan kemungkinan jumlah ‘like’ tersebut datangnya daripada “bots” (program komputer mudah diprogramkan untuk melaksanakan operasi yang berulang) serta “cybertroopers”.
“Lawan Najib sedang mereka suasana seperti beliau sudah kalah, dan sebaik sahaja penyokong beliau masuk dalam perangkap tersebut, mereka akan meninggalkan sokongan terhadap beliau dan pada masa itulah beliau betul-betul kalah. Mereka tidak mahu kelihatan menyokong pihak yang sedang kalah.
“Namun saya berpendapat Najib akan tetap kekal pada masa kini kerana beliau masih memberikan naungan politik dalam parti,” kata Wong.
Penganalisis politik Ibrahim Suffian yang mengetuai Merdeka Center berkata, laman tersebut mempunyai kesan terhadap pendapat rakyat kerana ia menunjukkan orang ramai berani mendedahkan nama dan profil mereka menyeru peletakan jawatan Najib.
“Laman seperti ini boleh menjadi berpengaruh, tetapi ia memerlukan lebih daripada seruan sebegini untuk diterjemahkan menjadi tindakan dan memaksa Umno untuk menolak beliau dari parti,” kata Ibrahim.
Beliau berkata, Najib hanya akan dalam bahaya sekiranya sokongan dalam parti juga mula terhakis.
Bagaimanapun, ia memerlukan “lebih banyak lagi” untuk lawan Najib mendapat keberanian bangkit menuntut beliau meletakkan jawatan, kata Ibrahim.
“Sama ada Najib kekal atau tidak bergantung kepada apa yang beliau mahu. Sekiranya beliau ingin kekal, beliau hanya perlu ambil tindakan yang perlu untuk menyekat pengaruh Dr Mahathir.
“Jika tidak, semakin lama, Dr Mahathir akan mula menghakis sokongan dalam parti, mencemarkan kredibilitinya dan menjejaskan mood rakyat,” kata Ibrahim.
Pada Khamis, Dr Mahathir sekali lagi menyeru Najib supaya meletakkan jawatan, mengatakan kegagalan perdana menteri untuk menjelaskan kehilangan berbilion ringgit 1MDB yang sarat berhutang menjadikan beliau tidak layak memimpin negara.
Bekas perdana menteri itu juga baru-baru ini memberitahu parti pemerintah Umno untuk menggantikan Najib sebagai presiden atau menanggung risiko kalah dalam pilihan raya umum akan datang. TMI

Dr M tidak akan maafkan Najib kerana hilangkan RM42 bilion 1MDB

 Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disambut pada pada forum ‘Bicara Negarawan’ di Kelab K, Taman Melawati, Selangor, pagi ini. Beliau mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab persoalan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) malah mempersoalkan ketelusan  laporan audit yang dibuat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 25 April, 2015.

Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi kenyataannya tidak akan memaafkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana bertanggungjawab menghilangkan RM42 bilion wang melalui syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, jumlah wang yang hilang itu bukan kecil, malah memberi bayangan ia akan berterusan jika Najib tidak meletakkan jawatan.
"Kita tidak boleh lagi maafkan, kita mesti tumpukan kepada perkara (1MDB) ini.
"Kalau kita tak hentikan, ia akan terus berlaku," kata Dr Mahathir semasa forum Bicara Negarawan di Kelab K, Taman Melawati, Selangor hari ini.
Dalam dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang, Dr Mahathir sekali lagi mendakwa Najib tidak menjawab persoalan melibatkan 1MDB malah mempersoalkan ketelusan sama ada laporan audit yang dibuat seperti diarahkan perdana menteri sendiri.
Kelab K yang dahulu dikenali sebagai Kelab Century Paradise merupakan tempat awal Dr Mahathir bertemu rakyat pada 2006 semasa mengkritik pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. TMI

Khamis, 23 April 2015

Mahathir: Mana lagi RM27 bilion 1MDB?


Dr Mahathir Mohamad hari ini membentangkan kiraanya terhadap pembelian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui pinjaman RM42 bilion dan mendakwa RM27 bilion tidak dapat dikesan.

Berdasarkan semua pembelian diketahui, jumlahnya menjadi RM14.7 bilion.

“Jadi, kira-kira RM27 bilion yang tinggal,” katanya.

Beliau juga berkata lebih daripada AS$1 bilion dibayar kepada Petro Saudi tanpa pengesahan tentang nilai syarikat itu atau asetnya.

“Di mana wang yang lain?” soalnya dalam tulisan terkini di blognya hari ini.

Beliau menyenaraikan pembelian 1MDB seperti berikut:

1) Tanjong Energy (kini Powertek Energy Sdn Bhd) - RM8.5 bilion
2) Genting Sanyan Power (kini stesen janakuasa Kuala Langat) - RM2.3 bilion
3) Jimah Energy - RM1.2 bilion
4) 70 ekar tanah di Jalan Tun Razak (projek Tun Razak Exchange) - RM320 juta
5) 495 ekar tanah bekas lapangan terbang TUDM Sungai Besi TUDM (kini Bandar Malaysia) - RM363.5 juta
6) 234 ekar tanah di Air Itam, Pulau Pinang- RM1.38 bilion. MK

Isnin, 20 April 2015

Jambatan Bengkok Satu Langkah Maju Memandang Ke Hadapan


Jambatan bengkok [2]

Jika British membuat Jambatan Johor dan bukan Tambak Johor pada tahun 1923, tentunya Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri Malaysia tidak berada dalam keadaan yang serba salah.

Jambatan bengkok [2]
Tun Dr Mahathir ketika menjadi PM telah memulakan asas pembinaan ‘jambatan bengkok’ (crooked bridge) tetapi asas itu tidak diteruskan oleh penggantinya, Datuk Seri Abdullah Badawi dan Datuk Sri Najib Tun Razak.

Seratus tahun dulu soal alam sekitar bukan suatu perkara yang diberikan perhatian seperti sekarang ini. Kenapa Tambak Johor dan bukan Jambatan Johor adalah berkisar di sekitar kos. Kerajaan British tidak mahu menanggung kos membuat jambatan kerana ia lebih mahal daripada membuat tambak.

Kalau jambatan, besi dan logam-logam lain dikatakan mahal harganya, sedangkan batu yang boleh dikeruk dari sebuah bukit di Johor Bahru dan Bukit Timah di Singapura untuk menambak Selat Tebrau adalah jauh lebih murah.

Kini, kita boleh menganggarkan begitu banyak sampah-sarap yang termendap sepanjang tambak itu, di kedua belah. Air dari Selat Melaka dan Laut China Selatan tersekat di situ. Tidak payah disebutkan betapa buruk pencemaran berlaku di situ begitu lama.

Salah satu badan perundangan terbaru ialah di EU atau Kesatuan Eropah yang mengandungi 28 buah negara. Menurut prinsip umum undang-undangnya, sebarang tindakan dalam sebarang bentuk yang mencemarkan udara dan air adalah ditegah.

Bila tegahan ini tidak dipedulikan, ia bertukar menjadi kesalahan jenayah. Justeru hukuman yang setimpal dalam kanun jenayah yang relevan akan dikuatkuasakan, tanpa mengira pihak yang didapati bersalah itu sebuah negara, firma, badan-badan tertentu atau individu.

Negara-negara di sebelah sini dunia mungkin boleh memperlekeh saja undang-undang begitu, tetapi sejarah dunia telah menunjukkan bahawa apa yang berlaku di Barat lambat laun akan sampai ke sini.

Akhir-akhir ini presiden dan perdana menteri beberapa buah negara di Afrika dan Eropah Timur dibawa ke pengadilan di Barat meskipun kesilapan mereka berlaku dalam sempadan negara masing-masing.

Negara-negara juga, terutama yang membangun, yang menutup mata dan telinga kepada realiti akan dikenakan hukuman diboikot atau ditahan daripada mendapat kemudahan perbankan dan ekonomi serta aliran kewangan. Seperti di Syria, Cuba, Yaman, Liberia dan Sudan, kehidupan rakyat akan terjejas.

Mungkin alasan bahawa Jambatan Bengkok itu dibuat dalam sempadan negara kita boleh diperkuatkan dengan alasan alam sekitar menurut undang-undang EU. Jika EU sudah merapikan ‘rumah’ sendiri, dan AS pula bersefahaman dengannya seperti yang boleh dijangkakan, maka soal pencemaran air dan udara akan menjadi sesuatu yang mudah ditangani. Senjata mencekik perdagangan dan ekonomi umumnya akan digunakan.

Suatu ketika dulu telah timbul ura-ura hendak mengorek sebuah terusan di Segenting Kra di Thailand. Takat yang paling tirus di situ ialah lebih kurang 30 kilometer dari tebing ke tebing antara Lautan Hindi dengan Laut China Selatan, jaraknya kira-kira 500 kilometer dari Alor Setar.

Kalau ia menjadi kenyataan, nescaya ia boleh menjejaskan Singapura sebagai sebuah pelaburan terbesar di Asia Tenggara. Sebuah terusan yang luasnya satu kilometer akan menampung dua buah kota di kedua belah tebing dengan segala kemudahan sebuah pelabuhan. Namun segalanya itu hanya tinggal andaian saja.

Kenapa ia pupus begitu saja adalah sesuatu yang meninggalkan tanda tanya besar hingga sekarang. Adakah ia atas nasihat dua kuasa besar dunia, AS dan Britain? Hakikatnya, Thailand bersahabat baik dengan AS dan ‘sepupunya’, Britain – yang menjadi pemerintah kolonial Singapura waktu itu.

Dengan mengambil kira faktor-faktor yang disebutkan di atas, pembikinan sebuah jambatan yang didukung bersama oleh Malaysia dan Singapura boleh membebaskan air mengalir di Selat Tebrau.

Ia adalah satu langkah maju yang memandang ke hadapan dan bukan ke belakang. Dengan sendirinya soal kebersihan alam sekitar terselesai. Keraguan hidup berjiran menjadi kendur di sisi rakyat. Limpahannya akan meninggalkan kesan positif dalam aspek-aspek lain.

OLEH: Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

SYAITAN LARI TERKENTUT-KENTUT SEWAKTU MENDENGAR AZAN, MENGAPA?



Pernahkah anda dengar ayat yang berbunyi ketika mendengar suara azan, syaitan dari golongan jin lari menjauh hingga terkentut-kentut mungkin waktu sekolah dahulu. Pernahkah anda terfikir mengapa ini sampai jadi macam nie?


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لَا يَسْمَعَ التَّأْذِينَ
"Apabila panggilan shalat (azan) dikumandangkan maka setan akan lari sambil kentut hingga dia tidak mendengar azan lagi" (HR. Al Bukhari dan Muslim)

Mengapa syaitan lari ketika mendengar azan? Seperti dalam hadith tersebut, syaitan takut dengan panggilan solat itu. Begitu besar takutnya sehingga mereka lari sambil terkentut-kentut.

"Kalimat adbarasy syaithan menggambarkan keadaan syaitan ketika ia lari begitu mendengar azan," terang Syaikh Majdi Abdul Wahab Al Ahmad dalam Syarah Hisnul Muslim, "sebab ia menganggap azan sebagai sesuatu yang sangat besar dan menakutkan. Hingga ia terkentut-kentut. Itulah yang berlaku. Ketakutan dan ketegangan membuat sendi jadi kendor sehingga seseorang yang takut ia tidak boleh menguasai dirinya. Saluran seni dan najis menjadi terbuka, hingga boleh kencing atau terkentut. Setan mengalami terkentut ini. "

Lalu mengapa syaitan begitu takut dengan suara azan melebihi ketakutannya pada ayat-ayat Al-Quran secara umum?

Syaikh Majdi Abdul Wahab Al Ahmad menambah, syaitan lari mendengar suara azan kerana azan mengandungi kalimat tauhid dan syiar-syiar Islam. Setan juga putus asa dalam menggoda seseorang apabila terdengar pernyataan tauhid.

Disebutkan ayat-ayat Al-Quran secara umum kerana ada juga ayat-ayat Al Qur'an yang jika dibacakan pada orang yang diganggu syaitan dari golongan jin, syaitan itu akan kepanasan sehingga ia keluar. Hal yang demikian boleh didapati ketika seseorang sedang diruqyah. Dengan dibacakan surat Al Fatihah, surat Al Baqarah ayat 1-5, ayat kursi (surat Al Baqarah ayat 255), surat Al Baqarah ayat 285-286, Al Jin dan lain-lain, syaitan akan kepanasan dan akhirnya keluar dari tubuh orang yang diganggunya . Kalaupun ada syaitan dari golongan jin yang berusaha bertahan, kadang ia malah terbakar kerananya.

SUMBER : www.bersamadakwah.com